TEKANAN DARAH TINGGI (HIPERTENSI)

8:31 AM
APA ITU HIPERTENSI?
Tekanan darah tinggi adalah apabila bacaan tekanan darah melebihi 140/90 mmHg. Tekanan darah yang normal adalah kurang daripada 120 mmHg (sistolik) dan 80 mmHg (diastolik).
 
PUNCA HIPERTENSI
9 daripada 10 pesakit hipertensi tidak mempunyai sebab yang jelas kenapa mereka menghidapinya. Bagaimanapun, individu yang mempunyai berat badan berlebihan, merokok, kerap memakan makanan yang tinggi kandungan garam dan berlemak, mengambil minuman beralkohol secara berlebihan, kurang bersenam, kerap mengalami tekanan (stres), atau mempunyai sejarah ahli keluarga menghidapi hipertensi adalah lebih berisiko menghidapi penyakit ini.
 
KOMPLIKASI HIPERTENSI
 
Komplikasi yang biasa berlaku kepada pesakit hipertensi yang tidak terkawal adalah seperti berikut :
·         Strok– tekanan darah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan salur darah yang lemah pecah dan menyebabkan pendarahan otak. Strok (angin ahmar) juga boleh terjadi apabila terdapat darah beku menyumbat arteri yang sempit.
·         Kerosakan deria penglihatan – Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan salur darah pada mata pecah dan berdarah. Penglihatan mungkin akan menjadi kabur atau terjejas sehingga menjadi buta.
·         Atherosklerosis – Apabila seseorang itu meningkat tua, arteri di seluruh badan terutamanya di jantung, otak dan buah pinggang akan mengeras. Tekanan darah akan menjadi lebih tinggi ekoran daripada arteri yang mengeras ini dan menyebabkan organ-organ tersebut bekerja dengan lebih keras.
·         Sakit buah pinggang – Buah pinggang berfungsi untuk menapis dan membuang bahan buangan daripada dalam badan. Lama-kelamaan, tekanan darah tinggi boleh menyebabkan buah pinggang gagal menjalankan fungsinya dan bahan buangan tersebut akan terkumpul di dalam badan. Apabila buah pinggang gagal berfungsi, rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang mungkin diperlukan.
·         Serangan jantung – arteri membawa darah beroksigen ke otot jantung. Kekurangan bekalan oksigen akan menyebabkan rasa sakit di bahagian dada ataupun ‘angina’. Jika bekalan darah terhalang, ia akan menyebabkan serangan jantung.
·         Kegagalan jantung kongestif - satu keadaan yang serius yang berlaku akibat kegagalan jantung mengepam darah yang mencukupi mengikut keperluan badan. Pengaliran darah yang lemah akan menyebabkan pengumpulan air dalam badan seperti di paru-paru, perut dan kaki.
 
PENJAGAAN KENDIRI
Anda boleh mencegah penyakit hipertensi dengan mengamalkan cara hidup sihat. Melalui usaha mengekalkan tekanan darah pada tahap optima, anda boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung, serangan strok, kerosakan buah pinggang dan boleh meneruskan hidup dengan sihat.
 
Tip cara hidup sihat:
 
·         mengekalkan berat badan yang sesuai
·         kekal aktif
·         mengamalkan cara pemakanan sihat
·         meminum minuman keras pada kadar sederhana sahaja
·         berhenti merokok
·         mengurangkan tahap tekanan hidup anda
 
RAWATAN
 
Dalam kes dimana langkah-langkah di atas tidak berkesan dalam mengawal tekanan darah,  doktor mungkin akan mempreskrib ubat untuk anda. Pengamalan cara hidup sihat perlu diteruskan disamping pengambilan ubat-ubatan bagi menghasilkan kesan rawatan yang terbaik.
 
Ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan hipertensi dipanggil ‘antihipertensif’, seperti berikut :
     
  • ACE inhibitors
  • Beta blockers
  • Calcium-channel antagonists
  • Diuretik
  • Angiotensin II antagonists
  • Alpha blockers
  • Kombinasi alpha/beta blockers
  • Ubat yang bertindak pada system saraf pusat
  • Direct vasodilators
  • Ubat kombinasi
 
 
RUJUKAN
 
1.    Clinical Practice Guideline/Consensus, Malaysian Hypertension Consensus Guideline, Ministry of Health Malaysia, 2008.
2.    Malaysian Statistics on Medicine, Pharmaceutical Service Division and the Clinical Research Centre, Ministry of Health, Malaysia, 2005.
3.    Medicines Compendium, Datapharm Communications Ltd., 2002
4.    Laman web: http://www.malaysianheart.org
5.    Laman web: http://www.emedicinehealth.com/high_blood_pressure
 
Previous
Next Post »
0 Komentar

SDK ucapkan terima kasih kerana tinggalkan komen dan "Amalkan Gaya Hidup Sihat" :)