Osteoporosis

8:34 AM
APAKAH OSTEOPOROSIS?
 
Osteoporosis adalah kehilangan atau pengurangan kepadatan, berat dan kekuatan tulang.
 
APAKAH PENYEBAB OSTEOPOROSIS?
Sel-sel tulang menambah dan mengeluarkan kalsium dan fosforus di dalam matriks secara berterusan. Kepadatan tulang yang normal terhasil dari kadar yang sama antara penambahan dan pengeluaran kedua-dua ion kalsium dan fosforus ini, yang dikawal oleh hormon dan faktor-faktor lain.  
 
 
Dalam osteoporosis, kadar penyerapan tulang adalah lebih tinggi daripada pembinaannya. Kejadian ini menyebabkan tulang menjadi reput, lemah, dan mudah retak atau patah.
 
SIAPAKAH YANG BERISIKO MENDAPAT OSTEOPOROSIS?
Wanita dan lelaki boleh mendapat osteoporosis. Walaubagaimanapun, kadar kekerapan osteoporosis di kalangan lelaki adalah lebih rendah berbanding wanita. Wanita yang lanjut usia, wanita selepas putus haid atau wanita yang telah menjalani pembedahan pembuangan ovari lebih berisiko untuk mendapat osteoporosis. Berikut adalah faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko mendapat osteoporosis :
·        Kekurangan kalsium yang berpanjangan atau sindrom gangguan penyerapan (contoh: gastrektomi)
·         Kadar estrogen yang rendah selepas putus haid atau selepas pembuangan ovari.
·         Tidak aktif secara fizikal
·         Merokok
·         Mengambil alkohol di dalam jumlah yang besar
·         Mengambil kafein di dalam jumlah yang besar
·         Menggunakan ubat-ubatan jenis steroid untuk jangka masa panjang
·         Faktor kaum : Caucasian dan orang Asia dengan rangka tubuh yang kecil
·         Pengeluaran adrenal atau hormon thyroid yang berlebihan.
 
TANDA-TANDA DAN GEJALA :
 
Osteoporosis tidak mempunyai tanda dan gejala yang nyata. Ia mungkin dapat diketahui hanya apabila tulang telah patah yang dapat dikenalpasti apabila imbasan X-Ray dilakukan. Tulang belakang yang lemah tidak mampu untuk menampung berat badan dan kemungkinan akan patah dengan kecederaan yang minima. Jika ada gejala, seseorang mungkin mengalami sakit pinggul atau sakit pinggang. Pada keadaan yang lebih buruk, seseorang akan kelihatan lebih rendah dari ketinggian sebenar dan bongkok, serta bahu yang melebar.
 
 
PENJAGAAN  KENDIRI :
 
Perubahan Diet dan Cara Hidup untuk Mencegah Osteoporosis
 
Osteoporosis adalah proses yang dinamik. Kerosakan tulang akan berlaku secara berterusan dan terapi penggantian hormon atau rawatan ubat-ubatan hanya mampu melambatkan proses tersebut. Langkah-langkah berikut boleh diambil bagi mencegah osteoporosis dari berlaku:

  • Tulang yang kuat perlu dibina sejak kanak-kanak lagi. Tingkatkan pengambilan kalsium di dalam diet anda. Pengambilan kalsium yang disarankan adalah sehingga 1.5 g/hari.
  • Kurangkan pengambilan kafein kepada kurang dari 2-5 cawan sehari. Kafein meningkatkan kehilangan kalsium melalui air kencing
  • Berhenti merokok kerana merokok dikaitkan dengan jisim tulang yang rendah dan peningkatan kadar retak dan patah pada tulang. Merokok menjadi penyebab kepada berlakunya putus haid lebih awal dan peningkatan metabolisma hormone seks.
  • Hentikan/kurangkan pengambilan alkohol. Alkohol juga menyebabkan kekurangan nutrisi bagi kalsium, vitamin D dan magnesium.
  • Lakukan senaman untuk mengawal berat badan. Senaman dapat menghalang kemerosotan tulang (tulang rapuh) dan mengelakkan jatuh kerana adanya peningkatan kekuatan otot.
  • Dapatkan nasihat doktor untuk pengambilan estrogen (hormon), pengambilan suplemen kalsium setelah putus haid atau selepas pembuangan ovari.
 
Kurangkan Rasa Sakit Belakang dengan Senaman
 
Berikut adalah satu siri senaman mudah bagi mereka yang mengalami sakit belakang:
  1. Baring di atas katil.
  2.  Angkat sebelah lutut hingga dada. Turunkan perlahan, tapi jangan luruskan kaki. Bertenang. Lakukan juga pada kaki yang sebelah lagi. Ulang pada setiap kaki masing- masing 10 kali.
  3. Angkat kedua-dua lutut secara perlahan ke dada. Tarik otot perut dan tekan bahagian belakang (sambil berbaring). Tahan lutut di dada selama 20 saat, kemudian turunkan perlahan-lahan. Tenang. Ulang sebanyak 5 kali.
  4. Peluk kedua-dua lutut dan angkat ke dada, sambil menukar posisi dari baring ke duduk. 
 
Senaman ini akan meregangkan otot-otot dibahagian pinggang dan juga menguatkan otot perut.
 
Tips:
 
 Sekiranya anda atau seseorang daripada ahli keluarga anda dipercayai mengalami osteoporosis, berikut adalah beberapa petua yang perlu anda ketahui:
 
·         Orang tua mungkin memerlukan bantuan dalam menentukan diet yang baik dan seimbang, mengekalkan kegiatan fizikal dan mencipta persekitaran di rumah di mana kemalangan dapat dielakkan.
·         Elakkan diri dari semua keadaan yang boleh menyebabkan cedera. Jauhkan diri dari lantai yang licin dan basah.
·         Pegang pemegang tangga ketika menggunakan tangga dan pastikan bahawa  pemegang tangga tersebut adalah kukuh.
·         Tidur di atas tilam yang empuk dan selesa
·         Gunakan posisi yang betul seperti membengkokkan lutut ketika mengangkat objek yang berat.
·         Jika estrogen dipreskripsikan kepada anda, jumpa doktor untuk pemeriksaan rutin dan nasihat.
·         Diet yang sihat dengan kalsium yang cukup, cahaya matahari yang cukup (untuk vitamin D) dan bersenam secara teratur membantu mengekalkan kekuatan tulang dan otot, yang mengurangkan risiko tulang retak dan patah.
 
*             RAWATAN
    • Suplemen Kalsium
    • Suplemen Vitamin (Cth. Cholecalciferol, Calcitriol)
    • Biphosphonates (Cth. Alendronate, Risedronate)
    • Raloxifene
 
RUJUKAN
 
1. Pharmacotherapy: A Pathophysiologic Approach, 1996.
2. The Complete Guide to Symptoms, Illness & Surgery, 1986.
3. Symptoms: how to spot thousands of illnesses, 1995.
4. New guide to medicines & drugs, 1995.
5. Healthwise handbook.
6. Australian Pharmacy Self Care. 
Previous
Next Post »
0 Komentar

SDK ucapkan terima kasih kerana tinggalkan komen dan "Amalkan Gaya Hidup Sihat" :)