Sembelit

8:28 AM
APAKAH SEMBELIT?
Setiap orang mempunyai tabiat perkumuhan yang tersendiri. Sembelit terjadi apabila seseorang tidak dapat membuang air besar dengan senang atau seperti biasa. Pesakit yang mengalami sembelit mungkin mendapati najis mereka lebih keras dari biasa, sakit dan sukar untuk membuang air besar dan mungkin merasakan usus mereka belum dikosongkan sepenuhnya. Simptom lain yang mungkin dialami oleh pesakit termasuk merasa kembung, tidak selesa dan lesu
.
 
SIAPA YANG BOLEH MENDAPAT SEMBELIT?
Corak pembuangan air besar serta takrifan sembelit berbeza di antara setiap individu. Ramai orang berfikir bahawa mereka sembelit sekiranya tidak membuang air besar setiap hari. Walau bagaimanapun tiada ketetapan kekerapan yang normal bagi pembuangan air besar dari segi perubatan. Pembuangan air besar yang normal mungkin berlainan dari setiap hari sehingga tiga kali seminggu bergantung kepada setiap individu. Sesetengah individu yang sihat mempunyai najis yang padat tetapi tidak mengalami kesulitan untuk membuang najis mereka.
Sembelit adalah masalah yang biasa. Walaupun setiap orang mungkin mempunyai masalah sembelit, namun mereka yang sering melaporkan sembelit adalah perempuan, kanak-kanak dan warga emas berusia 65 tahun ke atas. Sembelit juga boleh terjadi pada wanita hamil, baru melahirkan anak, atau menjalani pembedahan.
 
APAKAH PENYEBAB SEMBELIT?
Banyak perkara yang menyebabkan sembelit atau meningkatkan kemungkinan untuk sembelit terjadi, termasuk:
 
·         Diet rendah serat
·         Tidak minum cukup air
·         Tidak bersenam secara tetap atau menjadi kurang aktif dari biasa
·         Perubahan dalam diet, rutin harian atau gaya hidup
·         Hamil terutamanya pada tiga bulan terakhir
·         Usia yang meningkat
·         Tekanan
·         Keadaan perubatan seperti berkaitan saraf atau kecacatan sejak lahir (kemurungan atau penyakit Parkinson)
·         Pergerakan yang terhad (orang tua atau orang yang terlantar di atas katil)
·         Ubat-ubatan (zat besi, kalsium, penahan sakit, anti-kemurungan )
·         Kanser usus atau lain-lain masalah usus
·         Penggunaan ubat laksatif yang tidak betul
 
 
PENJAGAAN KENDIRI
Sembelit yang tidak disebabkan oleh gangguan perubatan boleh diubati dengan pelbagai ubat-ubatan tanpa preskripsi, serta mengubah kebiasaan pola makan dan gaya hidup.
 
a) Pemakanan
Meningkatkan pengambilan makanan berserat untuk membantu membentuk najis yang lembut dan besar (contohnya buah-buahan, sayuran-sayuran). Serat harus dimulakan secara berperingkat ke dalam diet untuk mengelakkan kembung dan angin berlebihan.
·         Minum sekurang-kurangnya dua liter (lapan gelas) air setiap hari (periksa dengan doktor sekiranya anda mempunyai masalah buah pinggang atau jantung)
 
 
b) Perubahan Gaya Hidup
·         Jangan abaikan rangsangan untuk membuang air besar.
·         Pergi ke tandas setiap kali selepas makan, apabila otot usus pada tahap yang paling aktif.
·         Belajar teknik istirehat dan amalkannya untuk mengurangkan ketegangan.
·         Amalkan senaman setiap hari untuk pembuangan air besar yang tetap
 
 
RAWATAN
 
PANDUAN PENGUBATAN KENDIRI- Ubat untuk Sembelit
(sila klik nama ubat di bawah untuk maklumat lanjut):
 
¨      Bisacodyl
¨      Cecair parafin
¨      Sekam ispaghula
¨      Senna
¨      Sirap lactulose
¨      Sodium phosphate
 
 
BILA ANDA PERLU BERJUMPA DOKTOR?
 
Sembelit kadangkala merupakan tanda bagi keadaan yang lebih serius. Dapatkan nasihat doktor sekiranya:
 
·         Rutin harian pembuangan air besar anda berubah, terutamanya apabila usia anda melebihi 40 tahun.
·         Anda mendapat sembelit dan cirit-birit berselang seli.
·         Sakit semasa membuang air besar.
·         Najis kelihatan berdarah atau hitam seperti ‘tar’.
·         Anda perlu kerap menggunakan ubat laksatif (setiap 2 hingga 3 hari sekali)
·         Anda berasa penat, tidak sihat, muntah, kehilangan berat badan, sakit kepala atau demam.
·         Anda mempunyai tanda/gejala sembelit melebihi tujuh hari tanpa tanda yang nyata.
·         Cecair atau najis lembut keluar dari dubur.
 
RUJUKAN:
 
  1. Laman web: http://www.mayohealth.org/mayo/9709/html
  2. Laman web: http://www.healthyideas.com/healing/cond_ail/constip.html   
  3. Laman web: http://www.emedicinehealth. com/flatulence_gas/article_em.htm
  4. Handbook of Non-Prescription Drugs, 9th edition
  5. Healthwise Handbook
Previous
Next Post »
0 Komentar

SDK ucapkan terima kasih kerana tinggalkan komen dan "Amalkan Gaya Hidup Sihat" :)