RESDUNG (SINUSITIS)

8:21 AM
Sinus adalah ruang yang terdapat di antara tulang di sekitar bahagian hidung anda (bahagian berwarna merah dalam gambar). Semua ruang sinus ini bersambung antara satu sama lain. Ia berfungsi untuk melembabkan udara apabila anda bernafas.
 
 
 
APAKAH SINUSITIS?
Sinusitis berlaku apabila berlakunya keradangan dan pembengkakan pada lapisan sinus atau apabila pengaliran keluar cecair mukus daripada sinus tersekat. Ini akan menyebabkan sinus dipenuhi cecair.
 
Silia yang merupakan bulu-bulu halus dalam sinus biasanya dapat ‘menyapu’ mukus keluar ke rongga hidung. Apabila silia tidak berfungsi atau terdapat halangan di antara sinus dan rongga hidung, sinusitis (pembengkakan sinus) akan berlaku.
 
APAKAH YANG MENYEBABKAN SINUSITIS?
Biasanya sinusitis berpunca daripada jangkitan bakteria, selalunya berlaku selama beberapa hari. Ia sering terjadi akibat alahan pada hidung, lelah, asthma atau pencemaran udara yang menyebabkan tindak balas keradangan.

 
Selsema akibat jangkitan virus juga boleh menyebabkan ruang sinus tersumbat dan merebak kepada jangkitan bakteria. Sinusitis yang berlaku dalam keadaan sebegini dipanggil sinusitis akut.
 
Sinusitis boleh berlarutan (dipanggil sinusitis kronik) selama beberapa bulan, malah beberapa tahun. Individu yang kerap mengalami sinusitis atau berlarutan selama lebih daripada tiga bulan juga dikatakan menghidap sinusitis kronik.
Bakteria yang sering menyebabkan sinusitis akut adalah Streptococcus pneumoniae, Haemophilus influenzae, and Moraxella catarrhalis. Mikroorganisma tersebut serta Staphylococcus aureus dan beberapa jenisanaerobes (bakteria yang boleh hidup tanpa oksigen), menyebabkan sinusitis kronik.
Kulat juga boleh menyebabkan sinusitis kronik yang biasa berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai penyakit yang melemahkan sistem pertahanan badan seperti AIDS, leukemia dan kencing manis.
APAKAH TANDA-TANDA DAN GEJALA SINUSITIS?
Sinusitis boleh berlaku tanpa mengira had umur. Sakit tekak dan batuk merupakan gejala yang paling biasa dialami oleh penghidap sinusitis akut dan kronik. Lapisan mukus pada hidung menjadi kemerahan dan membengkak dan bernanah.
 
Gejala sinusitis kronik mungkin tidak seteruk sinusitis akut; bagaimanapun, sinusitis kronik yang tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi yang serius seperti menjadi buta dan bengkak bernanah di bahagian otak.
 
 
Sinusitis akut:
  • Hidung tersumbat dan berlendir.
  • Mukus berkumpul di bahagian tekak, menyebabkan sakit tekak.
  • Sakit kepala yang teruk.
  • Sakit pada kawasan sekeliling mata atau tulang pipi atau sebahagian hidung atau di atas kepala atau dahi atau di bahagian gigi atas.
  • Rasa sakit bertambah teruk apabila batuk, membongkok ke depan atau semasa baring dan berasa lega apabila kepala ditegakkan.
  • Deman biasanya berlaku.
  • Bahagian tulang pipi membengkak, kemerahan dan terasa lembut
  • Hidung berair
  • Gangguan penglihatan akibat tekanan ke bahagian otak
 
Sinusitis kronik:
  • Hidung berair dan tersumbat berterusan serta rasa tidak selesa pada bahagian hidung antara kedua-dua mata atau bawah mata.
  • Pengumpulan cecair mukus di bahagian tekak berterusan.
  • Kesakitan bertambah teruk pada lewat pagi atau apabila memakai cermin mata dan mungkin lebih teruk apabila selsema.
  • Sakit tekak dan bau nafas yang busuk secara berterusan.
  • Sakit gigi atau gigi sensitif yang berpanjangan.
  • Rasa tidak selesa sepanjang hari dan batuk bertambah teruk pada waktu malam.
  • Sakit kepala yang berterusan.
 
PENJAGAAN KENDIRI
  • Minum segelas air atau jus buah setiap jam semasa jaga.
  • Menyedut wap bermenthol boleh membantu pengaliran keluar cecair yang menyumbat hidung.
  • Campurkan ¼ sudu kecil garam atau ¼ sudu kecil soda penaik dalam 8 auns (240ml) air suam dan gunakan untuk mencuci dan melegakan rongga dalam hidung.
  • Ambillah ubat-ubatan seperti yang diarahkan, terutamanya jika anda mengambil antibiotik di mana adalah amat penting bagi anda mematuhi dosnya dan melengkapkan rawatan.
  • Dapatkan rehat yang mencukupi.
  • Ambil makanan seimbang dan lebihkan makan buah-buahan.
 
BAGAIMANA SINUSITIS BOLEH DICEGAH?
  • Selsema hendaklah dirawat dengan segera.
  • Hembus hidung anda dengan perlahan.
  • Minum banyak air apabila selsema supaya cecair mukus tidak terkumpul.
  • Jauhi daripada asap rokok dan bahan pencemaran lain yang boleh menimbulkan radang pada rongga hidung. Perokok biasa menghidapi sinusitis. 
  • Elakkan daripada aktiviti berenang atau menyelam semasa menghidapi sinusitis kerana klorin dalam air kolam boleh merengsa selaput rongga hidung dan sinus.
 
 
RAWATAN
 
PANDUAN PENGUBATAN KENDIRI- Ubat untuk merawat sinusitis
(sila klik nama ubat di bawah untuk maklumat lanjut):
 
¨      Cetirizine
¨      Chlorpheniramine
¨      Syrup Diphenhydramine
¨      Loratadine
 
RAWATAN LAIN
 
  • Antibiotik
Bagi rawatan sinusitis yang akut dan tiada komplikasi, Amoxicillin sering digunakan. Antibiotik tersebut berkesan menentang mikroorganisma yang menyebabkan jangkitan sinus. Kesan sampingan utama Amoxicillin termasuklah tindak balas alahan pada tekak dan kulit serta gangguan sistem penghadaman.
 
Individu yang alah kepada ubat terbitan Penicillin ini boleh mengambil antibiotik jenis sulfur iaitu gabungan Trimethoprim/Sulfamethoxazole ataupun TMP/SMX (Bactrim). Ubat ini tidak disyorkan kepada mereka yang alah kepada sulfur.
 
  • Pelega kesakitan
Dekongestan boleh mengurangkan kesakitan sinus dengan melegakan ruang yang tersumbat. Ubat tahan sakit seperti Paracetamol dan Ibuprofen boleh diambil untuk melegakan sakit.
 
  • Pembedahan
Jika rawatan dengan ubat-ubatan gagal, pembedahan merupakan pilihan terakhir bagi merawat sinusitis kronik. Pembedahan dilakukan untuk melancarkan aliran cecair sinus dan mengurangkan sumbat pada rongga hidung.
 
BILAKAH ANDA PERLU MENGHUBUNGI DOKTOR?
Ada kalanya sinusitis sukar dikesan kerana ia mempunyai gejala yang sama dengan selsema dan alahan pada hidung / rhinitis.  
 
Jika anda menghadapi sebarang tiga atau lebih tanda-tanda dan gejala berikut, anda perlu berjumpa dengan doktor.
 
  • Selsema lebih daripada 10 ke 14 hari atau menjadi semakin teruk.
  • Sakit kepala yang teruk dan berbeza daripada biasa dan tidak sembuh walaupun telah mengambil ubat tahan sakit yang biasa anda ambil.
  • Sakit pada bahagian muka.
  • Cecair yang pekat, kekuningan atau kehijauan atau berdarah keluar daripada hidung
  • Demam dan batuk.
  • Hidung tersumbat.
  • Bengkak di sekitar mata dan dahi.
 
 
RUJUKAN
 
  1. Laman web: http://www.niaid.nih.gov
  2. Laman web: http://www.emedicinehealth.com
  3. Health and Research A to Z, National Institute of Allergy and Infectious Diseases, Mac 2010
  4. Pharmacy Self Care Health Information, Pharmaceutical Society of Australia, November 2008.
Previous
Next Post »
0 Komentar

SDK ucapkan terima kasih kerana tinggalkan komen dan "Amalkan Gaya Hidup Sihat" :)