ALAHAN HIDUNG (ALLERGIC RHINITIS)

8:14 AM
APAKAH DIA ALAHAN HIDUNG?
Alahan pada hidung juga dikenali sebagai allergic rhinitis. Sebab-sebab alahan tersebut adalah bahan-bahan yang terdapat dalam udara seperti debunga, habuk, kulapuk, makanan tertentu seperti udang, ketam dan sotong, hama dan bulu haiwan (kucing dan anjing).
 
Bahan alergi menggalakkan sel darah putih merembeskan histamin ke dalam aliran darah. Ini menyebabkan cecair dalam darah keluar ke dalam tisu di rongga hidung dan menyebabkannya tersumbat.

 
APAKAH TANDA-TANDA DAN SIMPTOMNYA?
  • Bersin
  • Gatal hidung, tekak, telinga dan mulut
  • Selesema dan/atau hidung tersumbat
  • Mata merah, berair, gatal dan sembab
  • Deria bau dan rasa yang kurang baik
  • Pengumpulan lendir dalam tekak, menyebabkan batuk
 
Simptom alahan biasanya menjadi lebih teruk pada waktu pagi dan semasa tiupan angin kencang di mana kandungan bahan pencetus alahan banyak terdapat dalam udara. Individu yang mempunyai alahan hidung juga kerap mendapat penyakit alahan yang lain seperti asthma (lelah), eczema (radang kulit) atau gatal-gatal kulit.
 
PENJAGAAN KENDIRI
 
  • Jika mata anda gatal, merah dan tidak selesa, bilas mata anda dengan air sejuk yang bersih atau gunakan cecair saline.
  • Gunakan cecair saline untuk mencuci bahan yang mencetuskan alahan yang terperangkap di dalam hidung.
  • Rendam tuala kecil dalam air suam dan letakkannya pada muka bagi melegakan hidung yang sakit dan tersumbat.
  • Dapatkan tidur yang cukup – keletihan akan menyebabkan simptom menjadi semakin teruk.
  • Kekalkan amalan hidup sihat: lakukan senaman setiap hari, berhenti merokok, elakkan bahan pencemaran dan makanlah makanan seimbang.
 
TIP-TIP YANG BERGUNA
  • Pastikan alat hawa dingin dan penapisnya sentiasa bersih.
  • Elakkan menanam pokok bunga hiasan yang boleh mencetuskan alahan di dalam rumah dan di halaman.
  • Pakailah cermin mata hitam pada hari yang berangin bagi melindungi mata daripada bahan pencetus alahan yang terdapat dalam udara seperti asap dan bahan kimia yang meruap.
  • Pakailah penutup hidung dan mulut apabila memotong rumput atau membersihkan rumah.
  • Bersihkan rumah dengan kerap. Penggunaan kain lembap dan pencuci hampagas adalah lebih baik berbanding penyapu.
  • Elakkan menyimpan barang yang boleh mengumpul habuk di dalam rumah seperti karpet, bunga kering dan alas perabot.
  • Elakkan haiwan seperti kucing dan anjing berada di dalam rumah.
  • Gunakan kelengkapan tidur yang kurang merangsang alahan seperti bantal yang diisi dengan kapas sintetik.
 
RAWATAN
 
PANDUAN PENGUBATAN KENDIRI- Ubat untuk merawat alahan hidung
(sila klik nama ubat di bawah untuk maklumat lanjut):
 
¨      Cetirizine
¨      Chlorpheniramine
¨      Syrup Diphenhydramine
¨      Loratadine
 
BILAKAH ANDA PERLU MENGHUBUNGI DOKTOR?
Dapatkan nasihat doktor jika anda mengalami sebarang simptom berikut. Ia mungkin menunjukkan terdapatnya jangkitan kuman.
 
  • Peningkatan suhu badan
  • Sakit telinga
  • Pembengkakan kelenjar pada leher
  • Terdapat rembesan cecair berwarna kuning daripada hidung atau mata
  • Sesak nafas atau nafas berbunyi
  • Batuk yang berterusan
 
RUJUKAN
 
1.    Laman web: http://www.niaid.nih.gov
2.    Laman web: http://www.emedicinehealth.com
3.  Health and Research A to Z, National Institute of Allergy and Infectious Diseases, Mac 2010
4.  Pharmacy Self Care Health Information, Pharmaceutical Society of Australia, November 2008.
Previous
Next Post »
0 Komentar

SDK ucapkan terima kasih kerana tinggalkan komen dan "Amalkan Gaya Hidup Sihat" :)