Menyusukan Anak Angkat

8:29 AM
Lumrah mengetahui setiap pasangan suami isteri yang telah berkahwin ingin mempunyai anak sendiri. Walau bagaimanapun, disebabkan beberapa faktor terutamanya cara hidup suami dan isteri dan persekitaran sekarang menyebabkan sesetengah pasangan berkahwin masih belum mempunyai anak.
Sesetengah pasangan berkahwin yang telah lama berkahwin dan masih belum mempunyai anak mengambil anak angkat sebagai salah satu cara penyelesaian. Bagi memutuskan ikatan pertalian angkat, terdapat ibu angkat yang ingin menyusukan anak angkat.  Jika cukup syarat, anak tersebut menjadi anak susuan dan mahram kepada ibu dan ayah angkatnya. Melalui penyusuan susu ibu, dipercayai hubungan antara ibu dan anak dapat dieratkan. Walaupun ianya kedengaran mustahil, tetapi terdapat ibu yang berjaya dalam menyusukan anak angkatnya walaupun ibu itu tidak pernah mengandung.
Bagi pasangan beragama Islam, Islam membenarkan wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mengambil anak angkat, untuk menyusukan sendiri anak tersebut. Fatwa berkenaan menyusukan anak angkat boleh didapati dari sumber berikut:
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam menggalakkan setiap ibu yang melahirkan anak untuk menyusukan sendiri bayi mereka dengan susu ibu sehingga mencapai usia dua tahun, sekiranya mereka mampu berbuat demikian. Namun begitu, Islam juga membenarkan wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mengambil anak angkat, untuk menyusukan sendiri anak tersebut dengan bantuan rawatan perubatan.
Bagi menjayakan penyusuan anak angkat ini, terdapat beberapa persediaan yang perlu perhatian rapi sebelum anda memulakan niat murni itu. Persediaan pertama demi merealisasikan impian menyusukan anak angkat perlu bermula dengan kaunseling penyusuan bersama kaunselor laktasi. Isteri dan suami amat digalakkan untuk melaluinya. Ia bertujuan menyediakan mental dan fizikal sebelum menunaikan tanggung jawab memelihara anak angkat. Sebaik-baiknya kaunseling dilakukan berterusan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum bayi diambil. Persediaan mental amat penting kerana proses penyusuan yang ingin dilalui ini bukanlah sesuatu yang tabii tetapi proses adaptasi.
Di dalam sesi kaunseling, isteri dan suami akan dimaklumkan mengenai proses yang bakal dilalui secara keseluruhan. Latar belakang akan diselidik daripada segi kesihatan, kemampuan dan kelapangan masa. Pasangan juga akan dimaklumkan tentang kesan sampingan jika ada, semasa proses cetusan laktasi berlaku dan cabaran-cabaran yang perlu dilalui sebelum dan selepas pengambilan anak angkat.
Jika ibu dan bapa angkat ini sudah bersedia dari segi mentalnya barulah langkah seterusnya dapat dilakukan dengan mudah iaitu persediaan fizikal. Ibu dan bapa angkat ini juga perlu menyediakan peruntukan kewangan yang cukup bagi menyara kehidupan bayi ini termasuk perbelanjaan rawatan penghasilan susu ini. Dalam erti kata lain, ibu dan bapa angkat juga harus melalui proses persediaan menyambut kelahiran bayi sama seperti ibu bapa yang melahirkan secara tabii.
Apabila bayi diambil, anda harus memulakan “ikatan” dengan bayi iaitu proses stimulasi. Hal ini boleh dilakukan sendiri di rumah. Caranya ialah melakukan sentuhan kulit ke kulit (skin-to-skin)dengan meletakkan bayi di atas dada. Tujuannya ialah mewujudkan hubungan rapat yang pada masa bertindak sebagai sesi perkenalan dantara ibu dan anak. Dalam masa yang sama, suami turut digalakkan melakukan perkara yang sama.
Kunci utama untuk menjayakan matlamat ini adalah penghasilan hormon prolaktin dan oksitosin di dalam tubuh seorang ibu.
Hormon prolaktin bertugas menghasilkan susu, manakala hormon oksitosin berfungsi untuk memancutkan susu keluar dari payudara seorang ibu. Kedua-dua hormon ini boleh dicetuskan apabila tubuh anda menerima rangsangan penyusuan secara berterusan dengan kerap setiap hari. Kedua-dua hormon ini dirembeskan oleh kelenjar pitituari iaitu kelenjar yang terletak di bahagian otak manusia. Ianya tidak ada kena mengena dengan rahim seorang wanita. Oleh itu, walaupun seorang wanita itu belum pernah hamil atau melahirkan bayi, ibu masih boleh menghasilkan susu.
Terdapat 2 kaedah menstimulasi perembesan hormon-hormon ini agar susu dapat dihasilkan dan dipancutkan iaitu melalui pengambilan ubat yang dapat merangsang penghasilan hormon ini dan menstimulasi puting ibu, yang secara tabiinya akan merangsang perembesan hormon. Walau bagaimanapun, kaedah yang terbaik adalah gabungan kedua-dua kaedah yang disebutkan di atas.
Secara semula jadi, bayi tahu cara untuk mencari payu dara. Jadi, beri peluang kepada dia dengan membenarkan dirinya mengenali ibunya dengan lebih dekat. Ketika melalui proses ini, jangan paksa diri dan banyakkan bersabar. Apabila bayi sudah membiasakan diri, dia dengan sendirinya akan memulakan proses stimulasi penyusuan. Bertenang dan yakinkan diri walaupun tahu susu ibu belum ada. Ibu jangan memaksa diri sendiri dan biarkan bayi menghisap atau melekap sahaja pada payu dara.
Untuk membolehkan bayi kekal melekap dan meneruskan hisapan di payu dara serta merangsang payu dara pada masa yang sama, bayi perlu diberi susu sebelum susu dapat dihasilkan oleh si ibu. 2 kaedah yang terbaik adalah seperti berikut:
1. Menitiskan susu dalam botol susu perlahan-lahan ke mulut bayi dalam keadaan bayi melekap pada payu dara. Titiskan sedikit-sedikit dan serapat mungkin dengan mulut bayi.
2. Menggunakan tiub khas yang dilekatkan pada payu dara manakala hujung satu lagi berada dalam bekas atau botol yang mengandungi susu. Ini mebolehkan bayi menghisap sekali payu dara dan menerima susu melalui tiub semasa dia menyusu pada payu dara.
Ibu perlu merangsang penyusuan antara 10 hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam termasuk pada waktu malam setiap kali bayi menunjukkan tanda-tanda mahu menyusu. Sebaik-baiknya lakukannya sebelum bayi mengamuk agar tidak menjejaskan usaha anda untuk menyusukannya secara terus daripada payu dara kelak.
Pemerahan menggunakan tangan mahupun pam payu dara adalah usaha tambahan yang boleh dilakukan dalam merangsang penghasilan susu. Malah antara usaha lain yang boleh dilakukan ialah dengan mengambil herba-herba yang diyakini dapat meningkatkan pengeluaran susu. Walau bagaimanapun, dapatkan nasihat perunding laktasi terlebih dahulu sebelum mencuba mana-mana herba supaya anda tahu jenis-jenis herba yang sesuai dengan diri anda.
Previous
Next Post »
0 Komentar

SDK ucapkan terima kasih kerana tinggalkan komen dan "Amalkan Gaya Hidup Sihat" :)