RESPONSE APABILA DI PATUK ULAR

9:25 AM Add Comment
Apakah yang anda harus lakukan jika dipatuk/digigit ular atau apabila anda syak anda dipatuk ular?
1. Pertama sekali anda mestilah bertenang. Jangan panik! Pastikan anda menjauhi ular tersebut dan cari tempat yang selamat. JANGAN PANIK! Hanya 18 dari 140 spesies ular Malaysia yang berbisa! Dan jika pun anda dipatuk oleh ular yang berbisa tidak semestinya ia menyebabkan kematian kerana majoriti dari gigitan ular adalah 'dry bites'.
2. Pada masa yang sama, cuba cam kan rupa, ciri2 dan warna ular tersebut bagi tujuan pengesahan spesies di hospital nanti. Di era moden ini, sila ambil gambar ular tersebut dgn smart phone (jenama mesin basuh pun boleh, tak semestinya iPhone




 wink emoticon
3. Jangan mengikut adegan dalam cerita Hindi atau Tamil dengan memotong atau menghisap tempat gigitan ular tersebut! Ia sama sekali tidak membantu malah boleh menyebabkan kecederaan tisu menjadi lebih teruk! Juga boleh menyebabkan bisa ular merebak dgn lebih cepat di dalam tubuh pesakit akibat dikolom ganas oleh anda wink emoticon. Bisa ular di dalam badan mangsa akan segera merebak ke dalam saluran limfa dan adalah mustahil utk manusia menyedutnya semula.
4. Dapatkan bantuan segera. Anda boleh membuat panggilan kecemasan ke talian 999 untuk tujuan ini. Jika anda mempunyai rakan atau saudara dan tidak mahu menunggu, segera pergi ke hospital terdekat dengan anda.
5. Kurangkan pergerakkan pada anggota yg dipatuk ular. Memasang anduh atau splint utk mengurangkan pergerakkan adalah amat membantu.
6. Jangan ikat atau pasang torniquet pada anggota badan yg dipatuk ular! Ia tidak membantu merencatkan penyebaran bisa ular. Malah ia menambahkan kesakitan dan jika dibiarkan terlalu lama boleh merosakkan anggota yg terlibat akibat sekatan bekalan darah!
7. Kurangkan pergerakkan mangsa seminima yg boleh. Kekal bertenang sepanjang masa. Ini adalah penting kerana degupan jantung yg laju dan pergerakkan badan yg keterlaluan akan menyebabkan merebaknya bisa lebih pantas dan mungkin menyebabkan ganguan sistemik. Atas sebab ini juga elakkan pesakit terdedah kepada agen2 yg boleh mempercepatkan degupan jantung seperti minum kopi, minuman beralkohol dan rokok.
8. Cuci luka patukan ular itu dengan air yang bersih tanpa menyental atau menggosok2 lukanya. Juga, anggota yg dipatuk ular berkemungkinan akan bengkak akibat bisa ular tersebut. Oleh itu tanggalkan cincin, jam tangan, gelang dll yang mungkin akan tersangkut kelak akibat bengkak yg keterlaluan. Ini juga akan mengganggu pengaliran darah.
9. Jika ular sudah dibunuh, boleh bawa bangkai ular tersebut ke hospital bagi tujuan pengecaman spesies. Ini adalah penting bagi memastikan anti-venom yg tepat dapat diberikan seandainya perlu.
Harus diingat, berhati2 menguruskan bangkai ular tersebut. Walau ia telah mati, kita masih boleh terdedah kepada bisanya seandainya jari kita tertusuk pada taring ular tersebut.
10. Rawatan lanjut akan diberi oleh Pakar Perubatan Kecemasan di Hospital anda.
11. Tidak semestinya setiap gigitan ular memerlukan ubat Antivenom!
DIGIGIT ULAR TIDAK BERMAKNA WAJIB MENERIMA ANTIVENOM!!!
12. Antivenom perlu diberikan hanya pada kes2 yg memenuhi kriteria ketat envenomasi (systemic atau severe local). Ini adalah kerana antivenom itu sendiri mempunyai risiko komplikasi dan kesan sampingan terhadap pesakit dan tidak boleh diberikan sebarangan.
13. Keputusan memberikan ubat antivenom ini hanya akan dilakukan oleh Pakar Perubatan Kecemasan setelah dinilai dengan teliti berdasarkan ilmu dan pengalaman mereka bagi mengurangkan risiko seminima mungkin buat mangsa gigitan ular.
1. Cuba utk sentiasa bertenang jika digigit ular.
2. Kurangkan pergerakkan seminima mungkin. Pasang anduh jika perlu.
3. Dapatkan bantuan segera utk ke hospital. HUBUNGI 999 tanpa segan silu.
4. Sila cam kan rupa ular bagi tujuan pengesahan spesies di hospital untuk memudahkan strategi rawatan. Setiap jabatan kecemasan akan mempunyai album dengan galeri gambar ular bagi memudahkan pesakit mengecam jenis ular yg menggigit mereka.
5. Kaedah merawat gigitan ular memang mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Pemerhatian utk kesan envenomasi secara teliti adalah amat mustahak. Jika anda menunggu lama dan mahukan penjelasan sila bertanya kepada doktor atau kakitangan yg bertugas.

Tips menjaga buah pinggang

5:53 PM Add Comment
1. Minuman yang diambil hendaklah melebihi dua liter sehari terutama orang yang bekerja kuat serta berpeluh dan cuba elakkan dari memakan kacang tanah, kacang putih dan segala kacang bergaram ,buah-buahan jeruk kering seperti asam boi dan buah kana.
2. Memakan mi segera seperti mi maggi dan makanan rapu seperti twisties, chikadess, serta mi kuning dan roti canai memudahkan penyakit buah pinggang menyerang (Gantikan mi kuning dengan spageti dan roti canai dengan capati dan tosei)
ginjal

3. Minuman seperti nescafe, air sunquick, oren squash dan segala minuman berperisa juga perlu dielakkan kerana kandungan utama minuman ini mempunyai bahan kimia pewarna dan perisa, meminum teh kedai juga wajar dielakkan kerana teh kedai adalah teh ‘recycle’ yang semata-mata dibuat dari bahan kimia pewarna dan perisa.
4.Pengambilan Coklat perlu dielakan dan meminimunkan pengambilan air milo dan gantikannya dengan horlick , dilarang sama sekali pengambilan minuman bergas kerana merosakkan buah pinggang.
5.Kurangkan pengambilan ayam daging kerana mengandungi beta agonist dan pelbagai hormon penggemuk. Ayam ini dibesarkan diladang selama 31 hari sahaja akibat diberikan ubat-ubatan. Cuba gantikan dengan ayam kampung atau ayam dijual dipasar yang kulitnya berwarna kuning. Ayam ini tidak mengandungi ubat-ubatan terlarang.
Mencegah adalah lebih baik dari merawat..

Blood Cholesterol

8:37 AM Add Comment
Kandungan kolesterol darah akan meningkat sekiranya anda mempunyai berat badan berlebihan atau makan makanan yang tinggi kandungan lemak.
Jumpa doktor anda untuk membuat ujian paras kolesterol darah sekiranya anda:
  • Mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap penyakit jantung
  • Menghidap penyakit tekanan darah tinggi
  • Menghidap penyakit kencing manis
  • Merokok
  • Gemuk atau obese
  • Mengamalkan gaya hidup yang kurang aktif
KOLESTEROL DAN TRIGLISERIDA
Kolesterol LDL:
Lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) membawa kolesterol ke tisu badan, tetapi kolesterol LDL yang berlebihan akan menyumbat saluran darah (mengeraskan arteri). Kolesterol LDL dipanggil kolesterol ‘jahat’.
Kolesterol HDL:
Lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) menolong membuang kolesterol dari darah. Kolesterol HDL dipanggil kolesterol ‘baik’.
Trigliserida:
Trigliserida dibawa oleh lipoprotein berketumpatan sangat rendah (VLDL). Berlebihan trigliserida akan berkumpul didalam tisu badan sebagai lemak.
RISIKO
Paras kolesterol yang tinggi akan meningkatkan risiko penyumbatan saluran darah dan menyumbang kepada :
  • Serangan jantung
  • Lumpuh
  • Angina (sakit dada)
  • Tekanan darah tinggi
  • Kegagalan buah pinggang
PENGURUSAN KENDIRI
a) Pengurangan Berat badan
b) Berhenti merokok
c) Kurangkan pengambilan alkohol
d) Amalkan cara pemakanan yang sihat 
RAWATAN
Doktor akan memberikan ubat untuk mengawal paras kolesterol darah dalam kes-kes dimana kolesterol tidak dapat dikawal melalui amalan pemakanan dan gaya hidup sihat. Untuk lebih berkesan individu masih perlu mengawal kandungan lemak dan kolesterol dalam makanan.
Terdapat beberapa kumpulan ubat untuk mengurangkan paras kolesterol darah:
Bile Acid Sequestrants (Resin)
Contoh : Cholestyramine
HMG CoA Reductase Inhibitors (Statins)
Contoh :
  • Lovastatin
  • Pravastatin
  • Simvastatin
  • Fluvastatin
  • Atorvastatin
  • Rosuvastatin
Fibric Acid Derivatives (Fibrates)
Contoh :
Gemfibrozil

Ciprofibrate
Fenofibrate
Bezafibrate
Nicotinic Acid (Niacin) dan terbitannya
RUJUKAN
1. Self Care Pharmacy
2. Consensus Statement On Management Of Hyperlipidemia
3. A handbook on eating the healthy way
4. Australian Pharmacy Self Care 2008.
5. Laman web: Self Care Guide, Pharmaceutical Services Division, Ministry of Health Malaysia - http://www.pharmacy.gov.my/self_care_guide
8. Laman web: MedicineNet.com -http://www.medicinenet.com/pneumonia/article.htm

Osteoporosis

8:34 AM Add Comment
APAKAH OSTEOPOROSIS?
 
Osteoporosis adalah kehilangan atau pengurangan kepadatan, berat dan kekuatan tulang.
 
APAKAH PENYEBAB OSTEOPOROSIS?
Sel-sel tulang menambah dan mengeluarkan kalsium dan fosforus di dalam matriks secara berterusan. Kepadatan tulang yang normal terhasil dari kadar yang sama antara penambahan dan pengeluaran kedua-dua ion kalsium dan fosforus ini, yang dikawal oleh hormon dan faktor-faktor lain.  
 
 
Dalam osteoporosis, kadar penyerapan tulang adalah lebih tinggi daripada pembinaannya. Kejadian ini menyebabkan tulang menjadi reput, lemah, dan mudah retak atau patah.
 
SIAPAKAH YANG BERISIKO MENDAPAT OSTEOPOROSIS?
Wanita dan lelaki boleh mendapat osteoporosis. Walaubagaimanapun, kadar kekerapan osteoporosis di kalangan lelaki adalah lebih rendah berbanding wanita. Wanita yang lanjut usia, wanita selepas putus haid atau wanita yang telah menjalani pembedahan pembuangan ovari lebih berisiko untuk mendapat osteoporosis. Berikut adalah faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko mendapat osteoporosis :
·        Kekurangan kalsium yang berpanjangan atau sindrom gangguan penyerapan (contoh: gastrektomi)
·         Kadar estrogen yang rendah selepas putus haid atau selepas pembuangan ovari.
·         Tidak aktif secara fizikal
·         Merokok
·         Mengambil alkohol di dalam jumlah yang besar
·         Mengambil kafein di dalam jumlah yang besar
·         Menggunakan ubat-ubatan jenis steroid untuk jangka masa panjang
·         Faktor kaum : Caucasian dan orang Asia dengan rangka tubuh yang kecil
·         Pengeluaran adrenal atau hormon thyroid yang berlebihan.
 
TANDA-TANDA DAN GEJALA :
 
Osteoporosis tidak mempunyai tanda dan gejala yang nyata. Ia mungkin dapat diketahui hanya apabila tulang telah patah yang dapat dikenalpasti apabila imbasan X-Ray dilakukan. Tulang belakang yang lemah tidak mampu untuk menampung berat badan dan kemungkinan akan patah dengan kecederaan yang minima. Jika ada gejala, seseorang mungkin mengalami sakit pinggul atau sakit pinggang. Pada keadaan yang lebih buruk, seseorang akan kelihatan lebih rendah dari ketinggian sebenar dan bongkok, serta bahu yang melebar.
 
 
PENJAGAAN  KENDIRI :
 
Perubahan Diet dan Cara Hidup untuk Mencegah Osteoporosis
 
Osteoporosis adalah proses yang dinamik. Kerosakan tulang akan berlaku secara berterusan dan terapi penggantian hormon atau rawatan ubat-ubatan hanya mampu melambatkan proses tersebut. Langkah-langkah berikut boleh diambil bagi mencegah osteoporosis dari berlaku:

  • Tulang yang kuat perlu dibina sejak kanak-kanak lagi. Tingkatkan pengambilan kalsium di dalam diet anda. Pengambilan kalsium yang disarankan adalah sehingga 1.5 g/hari.
  • Kurangkan pengambilan kafein kepada kurang dari 2-5 cawan sehari. Kafein meningkatkan kehilangan kalsium melalui air kencing
  • Berhenti merokok kerana merokok dikaitkan dengan jisim tulang yang rendah dan peningkatan kadar retak dan patah pada tulang. Merokok menjadi penyebab kepada berlakunya putus haid lebih awal dan peningkatan metabolisma hormone seks.
  • Hentikan/kurangkan pengambilan alkohol. Alkohol juga menyebabkan kekurangan nutrisi bagi kalsium, vitamin D dan magnesium.
  • Lakukan senaman untuk mengawal berat badan. Senaman dapat menghalang kemerosotan tulang (tulang rapuh) dan mengelakkan jatuh kerana adanya peningkatan kekuatan otot.
  • Dapatkan nasihat doktor untuk pengambilan estrogen (hormon), pengambilan suplemen kalsium setelah putus haid atau selepas pembuangan ovari.
 
Kurangkan Rasa Sakit Belakang dengan Senaman
 
Berikut adalah satu siri senaman mudah bagi mereka yang mengalami sakit belakang:
  1. Baring di atas katil.
  2.  Angkat sebelah lutut hingga dada. Turunkan perlahan, tapi jangan luruskan kaki. Bertenang. Lakukan juga pada kaki yang sebelah lagi. Ulang pada setiap kaki masing- masing 10 kali.
  3. Angkat kedua-dua lutut secara perlahan ke dada. Tarik otot perut dan tekan bahagian belakang (sambil berbaring). Tahan lutut di dada selama 20 saat, kemudian turunkan perlahan-lahan. Tenang. Ulang sebanyak 5 kali.
  4. Peluk kedua-dua lutut dan angkat ke dada, sambil menukar posisi dari baring ke duduk. 
 
Senaman ini akan meregangkan otot-otot dibahagian pinggang dan juga menguatkan otot perut.
 
Tips:
 
 Sekiranya anda atau seseorang daripada ahli keluarga anda dipercayai mengalami osteoporosis, berikut adalah beberapa petua yang perlu anda ketahui:
 
·         Orang tua mungkin memerlukan bantuan dalam menentukan diet yang baik dan seimbang, mengekalkan kegiatan fizikal dan mencipta persekitaran di rumah di mana kemalangan dapat dielakkan.
·         Elakkan diri dari semua keadaan yang boleh menyebabkan cedera. Jauhkan diri dari lantai yang licin dan basah.
·         Pegang pemegang tangga ketika menggunakan tangga dan pastikan bahawa  pemegang tangga tersebut adalah kukuh.
·         Tidur di atas tilam yang empuk dan selesa
·         Gunakan posisi yang betul seperti membengkokkan lutut ketika mengangkat objek yang berat.
·         Jika estrogen dipreskripsikan kepada anda, jumpa doktor untuk pemeriksaan rutin dan nasihat.
·         Diet yang sihat dengan kalsium yang cukup, cahaya matahari yang cukup (untuk vitamin D) dan bersenam secara teratur membantu mengekalkan kekuatan tulang dan otot, yang mengurangkan risiko tulang retak dan patah.
 
*             RAWATAN
    • Suplemen Kalsium
    • Suplemen Vitamin (Cth. Cholecalciferol, Calcitriol)
    • Biphosphonates (Cth. Alendronate, Risedronate)
    • Raloxifene
 
RUJUKAN
 
1. Pharmacotherapy: A Pathophysiologic Approach, 1996.
2. The Complete Guide to Symptoms, Illness & Surgery, 1986.
3. Symptoms: how to spot thousands of illnesses, 1995.
4. New guide to medicines & drugs, 1995.
5. Healthwise handbook.
6. Australian Pharmacy Self Care. 

ASMA (LELAH)

8:33 AM Add Comment
Asma adalah sejenis penyakit saluran penafasan yang kronik. Ia menyebabkan rasa sempit dada dan sesak nafas. Penyakit ini boleh membawa maut jika tidak dirawat atau dikawal dengan baik.
Simptom-simptom:
  • Batuk
  • Kesukaran bernafas
  • Pernafasan berbunyi
  • Rasa sempit dada
  • Muka dan bibir menjadi pucat dan biru
  • Peningkatan denyutan nadi
Semua simptom ini mungkin menjadi lebih teruk pada waktu malam, awal pagi, atau semasa bersenam.
Setiap pesakit asma mempunyai faktor pencetus asma yang berbeza. Anda perlu memahami faktor pencetus asma anda sebelum anda boleh mengelakkannya.
Faktor-faktor pencetus yang paling biasa :
  • Pencetus alergi seperti hama, debunga, binatang peliharaan seperti kucing atau anjing
  • Asap rokok
  • Jangkitan virus seperti selsema
  • Keadaan cuaca seperti udara sejuk, perubahan di dalam suhu persekitaran, ribut petir
  • Pencetus berkaitan pekerjaan seperti bahan kimia dan habuk kayu
  • Sesetengah jenis ubat
PENJAGAAN KENDIRI
Pesakit asma masih boleh mempunyai kehidupan yang normal dan aktif dengan pengurusan rawatan yang baik,
Kurangkan, buang atau elakkan faktor pencetus untuk mencegah serangan asma. 
RAWATAN
Doktor akan mempreskrib satu atau lebih ubat berdasarkan tahap keseriusan penyakit asma anda.
  • Ubat pelega: melegakan otot-otot pernafasan dan memudahkan anda bernafas apabila anda mendapat serangan asma. Sekiranya anda dapati anda menggunakan ubat jenis ini lebih lebih daripada 3 kali seminggu, anda dinasihatkan untuk terus berjumpa dengan doktor anda.
  • Ubat pencegah: Ia membantu mengurangkan inflamasi di dalam saluran pernafasan anda. Perlu diambil setiap hari walaupun anda tidak mempunyai sebarang simptom asma. Ubat ini akan mengurangkan kebarangkalian anda mengalami serangan asma walaupun anda berdepan dengan faktor-faktor pencetus.
  • Ubat pengawal simptom: ia melegakan otot-otot saluran pernafasan sehingga 12 jam, membantu mengurangkan simptom asma. Ubat ini hanya digunakan oleh pesakit asma yang juga menggunakan ubat pencegah.
  • Kombinasi ubat : mengandungi kedua-dua ubat pencegah dan ubat pengawal simptom di dalam satu inhaler.
HUBUNGI DOKTOR ANDA JIKA:
  • Simptom-simptom anda menjadi semakin teruk (contohnya kesukaran bernafas, tidak dapat bercakap dengan selesa serta bibir menjadi pucat).
  • Dada anda berasa ketat dan anda menghadapi kesukaran untuk bernafas walaupun telah mengambil ubat pelega, ataupun simptom tersebut kembali dalam beberapa minit selepas mengambil ubat pelega tersebut.
RUJUKAN:
1.    Global Initiative for Asthma (GINA) : A Pocket Guide for Physicians & Nurses 2011
2.    Australian Asthma Management Handbook 2006
3.    GINA Asthma Patient Guide June 2007

Epilepsi (Sawan)

8:32 AM Add Comment
Epilepsi adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh isyarat elektrik yang tidak terkawal di dalam otak. Ini menyebabkan sawan atau kekejangan. Epilepsi boleh berlaku kepada sesiapa saja, tidak mengira usia, jantina atau tahap pendidikan. Orang ramai tidak perlu takut atau meperlihatkan sikap yang berbeza semasa bergaul dengan pesakit epilepsi. Epilepsi boleh dikawal dan mereka boleh menjalani kehidupan seharian dengan gembira dan aktif.
Faktor-faktor yang bermungkinan menyebabkan epilepsi:
·         Kecederaan semasa lahir
·         Bekalan oksigen ke otak berkurangan
·         Salur darah tersumbat
·         Masalah kesihatan tertentu dan jangkitan
·         Demam kuat
·         Ketumbuhan pada otak
·         Genetik
FAKTOR PENCETUS
Serangan epilepsi boleh dicetuskan oleh:
·         Kurang tidur
·         Tekanan
·         Menstruasi (Datang haid)
·         Alkohol
·         Pengunaan ubat-ubatan tertentu
·         Kecederaan kepala
JENIS SAWAN EPILEPSI
Terdapat tiga jenis sawan yang dicirikan oleh gejala dan pengurusan yang berbeza.
Sawan tonik-klonik
Pesakit sawan tonik-klonik dicirikan dengan pesakit tiba-tiba terjatuh, menjadi kaku dan ketar atau tersentak. Pesakit biasanya tidak sedar dan bernafas dengan kuat. Sawan biasanya berlaku untuk tempoh masa satu hingga tiga minit. Pesakit mungkin akan tertidur dan penat selepas mendapat serangan. Mereka mungkin akan bingung untuk seketika dan tidak mengetahui apa yang berlaku semasa mendapat sawan.
Sawan absence
Pesakit dengan sawan absence biasanya akan berhenti dari melakukan perkara yang sedang dilakukan dan merenung sesuatu untuk jangkamasa 5 hingga 30 saat. Bebola mata mungkin akan bergerak ke atas dan ke bawah. Ini biasanya berlaku kepada kanak-kanak sekolah rendah. Pesakit mungkin akan mengalami kesulitan dalam pembelajaran dan kurang penumpuan perhatian terhadap sesi pembelajaran.
Sawan separa kompleks
Pesakit dengan sawan separa kompleks biasanya kelihatan seperti tidak menyedari keadaan persekitaran atau memberikan respon kepada orang lain ketika mengalami sawan. Reaksi luar biasa seperti gerakan mengunyah, bermain dengan pakaian sendiri atau berkeliaran tanpa tujuan mungkin berlaku. Sawan berlaku dalam beberapa saat hingga beberapa minit. Pesakit biasanya bingung untuk masa yang singkat selepas sawan.
PENJAGAAN KENDIRI
·         Pakai topi keledar semasa menunggang basikal, kuda, kasut roda dan lain-lain
·         Jangan berenang bersendirian
·         Berbincang dengan doktor sekiranya anda merancang untuk hamil
·         Elakkan aktiviti sukan yang lasak seperti memanjat bukit, menyelam dan payung terjun
·         Pelajari tentang epilepsi dan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan
·         Jangan memandu atau mengendali mesin berat sekiranya epilepsi anda tidak terkawal (dapatkan nasihat doktor anda)
BANTUAN KECEMASAN SEMASA SAWAN
·         Bertenang. Periksa saluran pernafasan.
·         Lindungi pesakit dari kecederaan tetapi jangan cuba untuk menghentikan pergerakan mereka
·         Jangan letakkan sebarang benda di dalam mulut mereka.
·         Selepas sawan, baringkan pesakit dan longgarkan pakaian mereka
·         Sekiranya pesakit tertidur, jangan bangunkan mereka tetapi teruskan pemeriksaan saluran pernafasan
·         Sekiranya anda tahu pesakit menghidap penyakit epilepsi, dapatkan bantuan perubatan sekiranya:
o   sawan berterusan lebih daripada 5 minit
o   sawan berlaku kembali selepas kali pertama
o   pernafasan terhenti
o   pesakit mengalami kecederaan
o   anda tidak pasti apa yang perlu dilakukan
  
RUJUKAN
1.    Pharmacy Self Care Health Information, Pharmaceutical Society of Australia, November 2008.
2.    Laman web: http://www.emedicinehealth.com

TEKANAN DARAH TINGGI (HIPERTENSI)

8:31 AM Add Comment
APA ITU HIPERTENSI?
Tekanan darah tinggi adalah apabila bacaan tekanan darah melebihi 140/90 mmHg. Tekanan darah yang normal adalah kurang daripada 120 mmHg (sistolik) dan 80 mmHg (diastolik).
 
PUNCA HIPERTENSI
9 daripada 10 pesakit hipertensi tidak mempunyai sebab yang jelas kenapa mereka menghidapinya. Bagaimanapun, individu yang mempunyai berat badan berlebihan, merokok, kerap memakan makanan yang tinggi kandungan garam dan berlemak, mengambil minuman beralkohol secara berlebihan, kurang bersenam, kerap mengalami tekanan (stres), atau mempunyai sejarah ahli keluarga menghidapi hipertensi adalah lebih berisiko menghidapi penyakit ini.
 
KOMPLIKASI HIPERTENSI
 
Komplikasi yang biasa berlaku kepada pesakit hipertensi yang tidak terkawal adalah seperti berikut :
·         Strok– tekanan darah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan salur darah yang lemah pecah dan menyebabkan pendarahan otak. Strok (angin ahmar) juga boleh terjadi apabila terdapat darah beku menyumbat arteri yang sempit.
·         Kerosakan deria penglihatan – Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan salur darah pada mata pecah dan berdarah. Penglihatan mungkin akan menjadi kabur atau terjejas sehingga menjadi buta.
·         Atherosklerosis – Apabila seseorang itu meningkat tua, arteri di seluruh badan terutamanya di jantung, otak dan buah pinggang akan mengeras. Tekanan darah akan menjadi lebih tinggi ekoran daripada arteri yang mengeras ini dan menyebabkan organ-organ tersebut bekerja dengan lebih keras.
·         Sakit buah pinggang – Buah pinggang berfungsi untuk menapis dan membuang bahan buangan daripada dalam badan. Lama-kelamaan, tekanan darah tinggi boleh menyebabkan buah pinggang gagal menjalankan fungsinya dan bahan buangan tersebut akan terkumpul di dalam badan. Apabila buah pinggang gagal berfungsi, rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang mungkin diperlukan.
·         Serangan jantung – arteri membawa darah beroksigen ke otot jantung. Kekurangan bekalan oksigen akan menyebabkan rasa sakit di bahagian dada ataupun ‘angina’. Jika bekalan darah terhalang, ia akan menyebabkan serangan jantung.
·         Kegagalan jantung kongestif - satu keadaan yang serius yang berlaku akibat kegagalan jantung mengepam darah yang mencukupi mengikut keperluan badan. Pengaliran darah yang lemah akan menyebabkan pengumpulan air dalam badan seperti di paru-paru, perut dan kaki.
 
PENJAGAAN KENDIRI
Anda boleh mencegah penyakit hipertensi dengan mengamalkan cara hidup sihat. Melalui usaha mengekalkan tekanan darah pada tahap optima, anda boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung, serangan strok, kerosakan buah pinggang dan boleh meneruskan hidup dengan sihat.
 
Tip cara hidup sihat:
 
·         mengekalkan berat badan yang sesuai
·         kekal aktif
·         mengamalkan cara pemakanan sihat
·         meminum minuman keras pada kadar sederhana sahaja
·         berhenti merokok
·         mengurangkan tahap tekanan hidup anda
 
RAWATAN
 
Dalam kes dimana langkah-langkah di atas tidak berkesan dalam mengawal tekanan darah,  doktor mungkin akan mempreskrib ubat untuk anda. Pengamalan cara hidup sihat perlu diteruskan disamping pengambilan ubat-ubatan bagi menghasilkan kesan rawatan yang terbaik.
 
Ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan hipertensi dipanggil ‘antihipertensif’, seperti berikut :
     
  • ACE inhibitors
  • Beta blockers
  • Calcium-channel antagonists
  • Diuretik
  • Angiotensin II antagonists
  • Alpha blockers
  • Kombinasi alpha/beta blockers
  • Ubat yang bertindak pada system saraf pusat
  • Direct vasodilators
  • Ubat kombinasi
 
 
RUJUKAN
 
1.    Clinical Practice Guideline/Consensus, Malaysian Hypertension Consensus Guideline, Ministry of Health Malaysia, 2008.
2.    Malaysian Statistics on Medicine, Pharmaceutical Service Division and the Clinical Research Centre, Ministry of Health, Malaysia, 2005.
3.    Medicines Compendium, Datapharm Communications Ltd., 2002
4.    Laman web: http://www.malaysianheart.org
5.    Laman web: http://www.emedicinehealth.com/high_blood_pressure